Umpan Organ

Umpan ini diambil daripada bahagian dalam ayam atau sisa-sisa ayam yang disembelih atau haiwan yang halal dan tidak bertentangan dengan agama islam. Selalunya bahagian dalam badan ayam menjadi keutamaan dan wajib ada pada para pemancing.
Antara organ dalaman yang saya selalu guna adalah

1. Hati ayam



Hati ayam senang diperoleh di mana-mana pasar. Penggunaan hati ayam sangat popular di     kalangan pemancing dan umpan ini sebenarnya stok terakhir sekiranya umpan lain tidak disentuh oleh ikan buruan. Setakat pengalaman saya sepanjang memancing, ikan buruan yang sering membaham umpan hati ayam adalah Ikan Common Carp, Keli Arika dan Patin. Penggunaan hati ayam sesuai digunakan pada awal atau pertengahan pertandingan. Terdapat cara khusus sebelum menggantungkan hati ayam supaya ikan buruan cepat menyentap umpan ini. Jangan sesekali menggantungkan hati yang bulat. Mengikut pengalaman, hati bulat yang digantung memberikan sentapan yang mengecewakan. Maksudnya kemungkinan tiada sentapan pada umpan tersebut. Hati ayam perlu dikoyak di bahagian tepi memudahkan ikan dapat mengesan umpan tersebut dengan cepat.


2. Usus Ayam

Penggunaan usus ayam juga dapat menggantikan umpan hati. Ikan buruan untuk umpan ini adalah ikan Tilapia, Keli Afrika (paling utama) dan Patin. Umpan ini sangat efektif sekiranya rutin makanan ikan pada sesuatu kolam adalah ayam. Umpan ini sangat mujarab untuk ikan bersaiz mega (7 kg up) sama ada keli atau patin. Ada 2 cara penggunaan umpan ini berdasarkan teknik pancingan pemancing. Bagi pemancing yang suka menggunakan teknik floating maka ikan yang diburu adalah ikan Patin dan ikan Tilapia. Teknik pancingan bottom pula menjanjikan ikan buruan adalah Keli Afrika. Setiap teknik pancingan mempunyai perbezaan cara menyangkutkan usus ayam pada mata kail. Teknik pancingan bottom adalah teknik yang paling senang kerana cara menyangkut usus adalah bebas. Bagi teknik floating pula, cara menyangkut umpan tersebut adalah sangat leceh namun cara ini menjanjikan sentapan ikan bersaiz mega.


3. Jantung Ayam
Umpan ini jarang sekali digunakan oleh para pemancing kerana kekenyalan jantung tersebut. Saya pernah menggunakan dengan menggunakan mata kail saiz 12 (chinu ring) dan menyangkutkan pada bahagian atas jantung (bahagian putih). Umpan jantung ayam adalah antara umpan yang paling mudah digunakan. Ikan buruan adalah Keli Afrika. Saya mampu mendaratkan ikan Keli atas 5 Kg. Anda mungkin mempunyai idea untuk modified umpan jantung ayam sebagai umpan power anda.


4. Limpa Ayam

Umpan ini jarang sekali digunakan kerana sukar untuk diperoleh. Limpa ayam adalah berbentuk bujur. Kedudukan limpa ini adalah diantara hati dengan bedal ayam. Limpa ini bersaiz kecil berbanding dengan jantung ayam. Warnanya adalah seperti warna hati. Umpan ini digunakan untuk memburu keli Afrika. Berdasarkan pengalaman, saiz ikan keli yang menyentap umpan ini adalah 4 kg up. Oleh kerana saiz umpan tersebut agak kecil, maka bilangan limpa yang disangkut pada matakail adalah diantara 3 hingga 5 ketul limpa.  Umpan ini sangat jarang saya guna kerana limpa ayam hanya boleh diperoleh di kilang ayam.

5. Daging Ayam
Umpan berasaskan daging ayam sangat popular buat ketika ini terutama mega game pancing. Penggunaan daging ayam ini berbeza di antara pemancing. Ada pemancing suka menggunakan hirisan daging ayam mentah. Ada yang mencincang daging ayam untuk menjadi dedak ayam. Namun sejak kebelakangan ini, ramai pemancing lebih suka menggunakan daging ayam rebus. Banyak cara penggunaan daging ayam rebus sama ada mengoyakkan umpan untuk guna terus atau ada yang mencincang halus untuk dedak ayam. Cara ini boleh dipilih oleh para pemancing mengikut kesesuaian dan teknik pancingan. Selalunya penggunaan daging ayam ini boleh digunakan dalam teknik floating dan teknik bottom. Umpan ini adalah umpan kegemaran saya dan saya pernah mendaratkan ikan bersaiz mega up 7kg.

No comments:

Post a Comment